Ramadhan Kareem

Selamat Menyambut Ramadhan, kami ucapkan kepada seluruh muslimin dan muslimat di seluruh dunia, umumnya, dan di seluruh Malaysia, khususnya.

Moga Ramadhan kali ini lebih bermakna, dan semoga ia dapat meningkatkan darjat taqwa kita, insyaAllah.

Menurut buku Rumah Kami Di Bulan Ramadhan tulisan Dr. Abd Wahid Al-Wakil, terdapat 3 hadiah Ramadhan yang Allah kurniakan kepada kita, orang Islam.

HadiahRamadhan

Yang pertama, tentulah Saum atau Puasa itu sendiri sebagaimana yang disebutkan dalam Surah Al-Baqarah ayat 183.

“Wahai orang-orang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa, sebagaimana yang telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, semoga kamu bertaqwa.”

Yang kedua, ialah hadiah Lailatul Qadr, yang mana bestnya hadiah ini, sehinggakan Allah mengumpamakannya lebih baik daripada 1000 bulan! Bukan 1, bukan 10, tapi 1000 tau! Boleh rujuk Surah Al-Qadr ayat 1-5.

“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Qur’an) pada malam Qadr. Dan tahukah kamu apakah malam Qadr? Malan Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan. Turun para malaikat dan Ruh (Jibril) pada malam itu dengan izin Tuhan mereka, untuk mengatur setiap urusan. Sejahteralah ia (malam Qadr) sehingga terbit fajar.”

Dan hadiah yang ketiga, ialah hadiah Al-Qur’an, manual kehidupan manusia yang paling utama.

“Bulan Ramadhan yang diturunkan padanya Al-Qur’an sebagai petunjuk bagi manusia.” (Al-Baqarah: 185)

Allah dah berikan kita 3 hadiah besar di bulan Ramadhan. Bagaimanakah kita sebagai Muslim nak berinteraksi atau nak manfaatkan hadiah berkenaan?

Untuk yang pertama, iaitu Saum/Puasa, tentulah dengan melaksanakan kewajiban puasa, menjaga ada puasa dan sunatnya, dan menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa/mengurangkan pahala puasa. Dan bila kata berpuasa, terdapat dua hidangan asas semasa berpuasa. Iaitu hidangan bersahur dan hidangan berbuka. Jika kita sebagai isteri atau ibu, mungkin satu usaha yang kita boleh lakukan sempena Ramadhan ini (dan diteruskan selepas Ramadhan) ialah dengan menyediakan hidangan bersahur dan berbuka yang halal, baik dan seimbang buat seisi keluarga, supaya Family sentiasa SIHAT sepanjang Ramadhan (dan juga selepas Ramadhan). Yang bujang pun, usahalah semampu mungkin untuk pastikan hidangan itu yang halal, baik dan seimbang.

Untuk yang kedua, iaitu Lailatul Qadr, mungkin kita boleh berusaha untuk menghidupkan 10 malam terakhir bulan Ramadhan. Hidupkanlah ia dengan pelbagai ibadah, seperti Qiyamullail, Tilawah al-Qur’an, dan Iktikaf sekerapnya semampu yang boleh.

Dan yang terakhir, iaitu bagaimana kita nak berinteraksi dengan hadiah ketiga ini, iaitu al-Qur’an, mungkin kita boleh mempertingkatkan bacaan al-Qur’an kita. Targetlah untuk khatam sekurang-kurangnya sekali dalam Ramadhan kali ini. Selain itu, mungkin kita boleh peruntukkan masa untuk mentadabburi isi-isi al-Qur’an (at least satu page/surah mengikut kemampuan). Dan mungkin kita boleh cuba menghafal beberapa surah pilihan agar kita lebih menjiwai al-Qur’an. Yang terakhir, kalau hari-hari biasa, mungkin ada yang memilih radio/mp3 lagu-lagu dan nasyid-nasyid sebagai halwa telinga, apa kata, hari-hari di dalam bulan Ramadhan, kita pasangkan pula ayat-ayat al-Qur’an sebagai halwa telinga. Pahala pun dapat!

Itulah dia 3 hadiah Allah buat kita di bulan Ramadhan.

Kalau orang bagi kita hadiah, biasanya dia akan lebih suka kalau kita gunakan hadiah itu dengan sebaiknya. Barulah kita boleh rasa bestnya hadiah itu. Bukan setakat tayang/pamerkan ia sebagai pencuci mata.

Begitulah juga hadiah dari Allah ini. Kita akan lebih rasakan BESTnya hadiah Allah ini, sekiranya kita amalkannya sesuai yang dianjurkan oleh Islam. Moga hidup kita lebih berkat dan moga kita boleh menjadi orang yang bertaqwa.

Ameen, insyaAllah.

Ramadhan Kareem
Tagged on:     

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge